Pages

Showing posts with label iLuvislam. Show all posts
Showing posts with label iLuvislam. Show all posts

Wednesday, 4 July 2012

Beribadah & Membaca Yasin 3 Kali Di Malam Nisfu Sya'ban



baby

Apakah Hukum Membaca Yasin 3 Kali Di Malam Nisfu Sya'ban ?
Jawapan dari Ustaz Abdul Kadir Al Jofree :
Sebagai menjawab persoalan yang diajukan, Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).
Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.
Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.
Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak amalan Yasin 3 kali dan mengatakan ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.
Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil ya...
Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahihdaripada Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu,
bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
 [ Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban]
Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.
Berkata Imam asy-Syafi'ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi'in dari penduduk Syam. 
Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah,
Bahawa para tabi'in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi'in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan dua cara:
* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi'in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid'ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya'), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
Sedikit tambahan lagi:
Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Sama ada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.
Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedayanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.
Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak diendahkan. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.
Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.
Wallahu A'lam
Sumber: jomfaham.blogspot.com
- Artikel iluvislam.com

Hukum Puasa, Solat & Doa Pada Nisfu Sya’ban...



baby
Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.

Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya'ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya'ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya'ban daripada hadis-hadis (Nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya'ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina 'Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi' sambil mendongakkan kepalanya ke langit. lalu baginda berkata : Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata 'Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta'ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya'ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."
[Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.] 
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu'adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda :"Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya'ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik  (yang menyekutukan Allah)  dan dosa orang yang bermusuhan." 
[Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.] 
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina 'Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Apabila masuk malam nisfu Sya'ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta'ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian...sesiapa yang demikian ...sehinggalah terbitnya fajar." 
[Riwayat Ibnu Majah] 

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri'tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara' yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata :
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .
"Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu
samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan."
[Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.] 
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
"Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan." -tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma'arif) :
"Ulama' di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma'dan dan Luqman ibn 'Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : "Perkara tersebut tidaklah menjadi bid'ah." Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan 'Alim." -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid'ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya'ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Oleh itu, digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.

Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi
Sumber : Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya'ban 1430, m/s 136.
- Artikel iluvislam.com

Saturday, 30 June 2012

Bila Dia Datang di Hatiku



alt

Bila dia datang kepadaku, terasa ada getaran kecil di hati...
Bila dia datang kepadaku, ada suara kecil yang memanggil namaku...
Bila dia datang kepadaku, titisan air keluar daripada mataku kerana baru aku sedar banyak dosa yang telah aku lakukan. Rasa bagai tidak akan diberi peluang untuk balik ke jalan yang benar...
Bila dia datang kepadaku, sebenarnya baru aku sedar dia tak pernah datang kepadaku tetapi sentiasa berada di pintu hati menunggu pintu hatiku terbuka untuk memelukinya dan takkan pernah ku lepas...
Bila dia di hatiku, takkan aku lepaskan lagi dan aku sedar kini aku sedang cuba miniti jalan yang benar...
Bila dia di hatiku, dia membisik kepadaku untuk berubah dengan memberi seorang insan kepadaku iaitu seorang insan yang sentiasa memberi semangat tak putus-putus agar aku sampai ke jalan orang-orang yang soleh dan solehah...kasih sayang daripada Maha Penciptaku dan insan itu bagai air sungai yang mengalir ...bonus buatku!
Bila dia di hatiku, kata syukur kepada Rabbku sentiasa ada pada sujud akhirku...
Bila dia di hatiku, ku belajar menutupi auratku walaupun tidak sempurna tetapi lebih baik dari ku membaluti auratku. Betapa sedihnya bila teringat kebodohanku dulu, bertudung tapi menampakkan bentuk badan ...malu!
Bila dia di hatiku, sentiasa aku berdoa agar hati ini istiqamah dengan perubahan pada diri ini walaupun sedikit demi sedikit...
Bila HIDAYAH datang di hatiku...
...
Sesungguhnya, aku manusia yang lemah, tak kuat tetapi aku cuba kuatkan hati kerana aku percaya Allah sentiasa denganku. Bisikan dan kata-kata manusia yang mengikut arus dunia melemahkan semangat untuk berubah. Syukur Alhamdulillah aku sentiasa mendapat semangat daripada yang tersayang. Ikhlaskan hati kerana Allah Taala...
Ya Allah, ampunkanlah aku. Sesungguhnya aku tidak layak masuk syurgamu, tetapi tidak pula ku sanggup menanggung seksa nerakamu. Kau pimpinlah aku menuju ke jalan orang yang bertakwa iaitu orang yang mendapat hidayah. Istiqomahlah hati ini. Kurniakanlah aku keluarga, kekasih, dan sahabat daripada orang yang soleh dan solehah. Amin...
- Artikel iluvislam.com

Perbanyakkanlah Berselawat di Bulan Sya'ban



baby

Bulan Rajab telah berlalu dan, alhamdulillah, kini kita sedang berada di bulan Sya'ban dan moga-moga Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan. Ameen.
Kalau di bulan Rajab, merupakan bulan yang berlaku padanya peristiwa Isra' wal Mi'raj dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menerima perintah mengerjakan sholat langsung dari Allah Azzawajalla,
maka di bulan Sya'ban pula terdapat beberapa peristiwa, diantaranya adalah:
terjadinya peristiwa terbelahnya bulan yang sebagaimana tersebut dalam al-Quran di surah al-Qomar ayat 1turunnya perintah penukaran qiblat dari Masjidilaqso ke Masjidilharam sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 144dan turunnya perintah supaya bersholawat ke atas junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut di surah al-Ahzaab ayat 56.
Allah Azzawajalla berfirman:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماًErtinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya(surah al-Ahzaab: 56) 
Maka kerana itulah bulan Sya'ban ini dikenali sebagai Syahrussholati, kerana dibulan inlah turunnya ayat diatas. Tatkala turun ayat tersebut (ayat al-Ahzab: 56), maka shahabat bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bagaimana bersholawat kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana tersebut di dalam beberapa riwayat, maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, antaranya: Kalian ucapkanlah:
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد، كما باركت على آل إبراهيم في العالمين، إنك حميد مجيد
Maka memperbanyakkan sholawat kepada junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Adapun sighah (bentuk) sholawatnya terpulanglah. mahu bersholawat dengan sholawat Ibrahimiyyah ... silakan, bahkan inilah yang terbaik kerana ianya sighah yang terpilih untuk dibacanya di dalam tasyahhud akhir.

Syaikh Yusuf an-Nabhani menyebut di dalam kitabnya Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat ketika membicarakan berkenaan sholawat ini, antara katanya:-
Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma'tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
Selain itu boleh juga bersholawat dengan sholawat Tafrijiyyah, Munjiyyah, Fatih, Tibbil Qulub dan sebagainya silakan. Semuanya punya kelebihan yang besar. sibukkanlah diri kita dengan memperbanyakkan sholawat .... Pilihlah mana-mana sholawat yang disukai.
Diantara kelebihan bershalawat ini, menurut ulama shalawat ini mudah dikerjakan manakala pahalanya besar. Bahkan walaupun ianya dibaca dengan tidak hadir hatinya, atau dibaca dengan disertai rasa riya', ujub, atau dibaca dalam keadaan lalai dengan tidak menghadirkan dan menghayati maknanya atau lain-lainnya, tetap saja diterima Allah kerana ketinggian kedudukan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disisi Allah kerana kecintaan Allah kepada صلى الله عليه وآله وسلم.
Andaikata kita tidak mampu untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah lain seperti sholat sunat terutamanya tahajjud, puasa maka bershalawatlah sebanyak-banyaknya.
Perhatikan apa yang disebut Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":-
Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan صلى الله عليه وآله وسلم seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه, Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di bulan ini dan di bulan-bulan seterusnya.
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya(surah al-Ahzaab: 56)
- Artikel iluvislam.com

Wednesday, 27 June 2012

Andai Rasulullah Melihat Aku Ber'Facebook'



alt
Assalamualaikum. Saya cuma nak kongsi sedikit perkongsian daripada usrah tadi. Tajuknya 'Andai Rasulullah s.a.w Melihat Aku Berfacebook'. Apa yang anda nampak bila dengar tajuk tu?
Seperti yang kita tahu, setiap sesuatu ada 'pro and cons'nya kan? Apa kebaikan facebook and apa pula keburukannya ?
Kawan usrah cakap facebook ni dapat menambah kenalan. Ada jugak yang cakap "disebabkan kita frienddengan bermacam  umur manusia,so sedikit sebanyak kita dapat tahu apa yang berlaku. Contohnya di universiti. Kira dapat info sikit pasal U." Hah, ada jugak yang jawab, facebook ni boleh jadi alat untuk kita menarik minat non-muslim terhadap Islam. Dan dia cerita pengalaman dia ber'chatting' dengan seorang kristian.
Muslimah Dan Facebook
Nampak tak sebenarnya apa yang saya cuba nak sampaikan melalui tajuk tu?
Ok, begini ya anak-anak. Kalaulah kan, seandainya Rasulullah s.a.w masih ada, bersama kita, melihat kita.. agak-agak macam mana? Apalagi bila Baginda tengok kita muslimah ni dengan apa yang kita buat. Peringatan, BILA KITA BERFACEBOOk, Agak-agak kena puji atau kena tegur?
Sebelum tu kena check dulu. Apa yang kita buat dengan facebook kita. Bermanfaat untuk orang lain atau tak? Dedah aurat tak kat facebook? Kalau dah tutup aurat pun, masih berbalas komen dengan mesra tak dengan lelaki? Chatting yang tak penting? Gambar tayang sesuka hati? Ada tak gambar yang spesis menggoda gitu. Cuba check!
Kalau Nabi Muhammad s.a.w tengok bagaimana kita ber 'facebook' ni, agak-agak kena puji tak? Masa nak berfacebook tu, apa rujukan anda? Siapa sasaran status anda? Banyak jenis orang di  facebookni. Ada yang buat facebook macam diari.
"Facebook aku, suka hati aku la nak post apa pun!"
Kemudian, yang sedihnya bila golongan muslimah, yang faham pengertian ikhtilat, yang faham apa yang wajib dia faham, pun ter'jerumus' dalam the bad side of Facebook. The bad side of Facebook? Muslimah? macam mana tu? Begini..
Bagaiman syaitan menghias maksiat, kaburkan pandangan kita. Yang buruk tu nampak macam baik. Faham kan?
Contoh mudah. Kita couple. Couple islamik la kononnya. Datang istilah dari mana pun tak tau la.
"Kita tak pernah jumpa pun dengan boyfriend kita. Mesej-mesej je. Tu pun sebulan dua kali. Mesej yang elok-elok je la. Kejut tahajud, subuh, bagi nasihat dan tazkirah. Kita saling mencintai kerana Allah. Apa tu orang kata, ukhuwwahfillah? Ha, ye la tu. Tak dosa. Kami tahu syariat sebab tu takcouple macam orang lain. Couple macam orang lain tu kan taqrabul zina. Kami ingat dosa lagi tau."
Betul ke ni?
Contoh dalam facebook. Kita post status dengan genre Islamik, Kemudian ada la rijal mari bertandang,
"Bagusla enti ni. Post status yang bermanfaat untuk semua. Kalau enti masuk ustazah pilihanconfirm menang ni."
"Eh, takdelah. Biasa-biasa je. Enta tu lagi hebat. Post hadith memanjang. Kalau masuk Imam Muda, mesti kalah semua orang."
Nampak?

Wahai saudara seangkatan segenderku! Siapa yang buka ruang sebenarnya ni? Kemudian kalau ikhwan tu tiba-tiba jadi mesra, mula la nak bersalah sangka, "Eh,dia ni. Nampak je waro' tapi miang jugak." "Tak sangka dia berani nak hint-hint aku. Dia sedar tak aku ni siapa, dia tu siapa?"
Hmm, Kasihan muslimin. Dipersalah terus menerus. Saudari, jangan salah faham. Bukan saya nakback up pakatan axis Y ni. Tapi kadang-kadang ada sesetengah perkara tu salah kita sebenarnya. 
Seterusnya, post status cinta. Semua status dia tu bertemakan cinta. Cinta islamik popular sekarang ni kat facebook kan? Banyak page-page cinta islamik.
Malah, Buka sahaja facebook. Dekat home tu boleh dikatakan separuh atau lebih yang bercerita soal cinta. Termasuk saya, kadang-kadang.
"Aku mencintaimu kerana agama yang ada pada dirimu. Kalau hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."
Tipu kalau tak pernah dengar quote tuh.
"Aku menunggumu kerana Allah."
Remaja, Jangan layu sangat dengan falsafah cinta. Da'ie itu bukan membuang masanya dengan falsafah cinta sahaja. Bimbang mulut menutur nasihat cinta islamik, sedangkan hati sedang memujuk nafsu agar mendekati.
Jangan salah faham. Bukan nak cakap benda ni salah. Baguslah sebenarnya kalau cinta berlandaskan iman. Tapi takkan itu sahaja yang kita fikir? Kalau lah kecintaan terhadap ummah macam ni. Subhanallah. Musuh islam pun gerun tengok kita.
Ada jugak yang spesis 'aku like kau, kau like aku'. Tiap-tiap status dia like. Macam pelik je, status yang tak menarik pun di 'like'. Ni like status ke like tuan status? Status sesama gender tu kurang pula dia nak like. Status yang different gender tu juga dia nak like. Apa tuh orang kata, macam magnet. Kan? Kalau North sama North, dia tolak. North dengan South baru boleh tertarik. Magnet nak main aci-tarik-aci-tolak pun tak apala. Magnet tak kenal halal haram. Tapi yang kita ni. Sepatutnya dah terlebih faham kan.
Lagi satu, pasal gambar. Kalau boleh tak perlu la nak upload gambar yang jelas terang-terangan sampai nampak segala jerawat. Muslimah, Walaupun awak tutup aurat dengan sempurna sekalipun, jangan jadikan perkara itu sebagai lesen untuk awak upload gambar sesuka hati. Kita tak tau hati orang. Kita tak tau apa yang orang pakatan axis Y tu fikir . Jadi jagalah perlakuan kita, mahalkanlah mahar maruah kita.
Kemudian, untuk kamu yang berniqab. Walaupun hanya nampak mata sahaja, janganlah kamu ambil gambar yang agak 'melampau'. Bimbang nanti terpesong niat pula. Moga dijauhkan. Kita berniqob kerana Allah. Sebab nak jadi lebih baik dari sebelum ni. Jadi, rasanya tak perlu untuk kita letak gambar berniqob yang agak jelas. Gambar individual, kalau ramai-ramai lain cerita. Masalahnya gambar yang shooting dekat. Jelas keindahan mata yang mempesonakan. (Sila jangan marah ya, saya pun niqobi jugak :D )

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku berfacebook, apakah reaksinya?
Kecewakah dia denganku? Ya Allah, peliharalah diri kami dari segala yang membinasakan..
Entry ini hanya sekadar perkongsian, pandangan. Take it or leave it. Don't judge a writing by its author. Aku hanya hamba yang dhoif, baru belajar nak kenal Tuhan :')
Jom jadi pelik! Hidup GENERASI GHURABA'!

Suatu Masa Akan Gugur Jua



alt
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani ~
Salam ku hulurkan
Pada mu teman
Yang selalu bersama dalam perjuangan...
Tiadalah apa
Yang mahu ku bicarakan
Sekadar memberi pesan
Sementara diri masih diberi Keizinan...

Hari ini
Bicara dan coretan
Bisa lagi menghiasi ruangan
Walau terkadang
Ada yang tidak senang
Dan mungkin agak lantang
Maafkanlah insan ini yg serba kekurangan...

Apalah daya yang ada
Semuanya atas penyusunan yang diaturkanNya
Aku ini insan hina dan sekadar teman yang menumpang cuma
Jauh sekali dapat mengembirakan kalian yang istimewa...

Suatu masa
Tarian jari ini akan ku hentikan jua
Bicara ini akan ku diamkan selamanya
Semuanya atas perlaksanaan yang ditentukan olehNya
Aku sebagai hamba hanya mampu menuruti aturan Pencipta...

Suatu masa
Kiranya jasad dan nadi masih ada
Namun kita tidak lagi dapat bersama
Kalian akan ku doakan sentiasa
Agar kebahagiaan dunia dan akhirat sana
Menjadi penetapanNya untuk kita...

Suatu masa
Yang tinggal hanya kenangan
Berilah penghargaan pdNya yang menciptakan
Dan usahlah bekalan akhirat kalian tangguhkan
Agar buku catatan amalan disambut ditangan kanan
Dan tidak hadirnya dalam penuh kehitaman dan kegelapan...

Suatu masa yang pastikan tiba
Jasad pasti ke tanah jua
Kala itu hanya ingatan dan doa yang ada
Selebihnya amalan kita yang akan dibawa
Untuk mengadapNya Yang Maha Esa...

Begitulah kita
Seperti sehelai daun cuma
SUATU MASA PASTIKAN GUGUR JUA...


Tuesday, 26 June 2012

Kenapa Doaku Tak Makbul?



alt
"Penat dah usaha, doa lagi, usaha lagi, doa lagi, usaha lagi. Dah usaha, doa, tawakkal dah. Tapi kenapa tak makbul-makbul lagi apa yang aku nak dapat dalam hidup ni? Orang lain tu macam mudah sahaja dapat apa yang mereka ingini. Aduhai memang tak bertuah kot aku ni?"
Pernah merungut sebegitu? Seakan apa sahaja yang kita nak capai macam susah laluannya, kan? Kadang-kadang sampai putus asa. Pernah rasa begitu?
Saya nak kongsi sedikit pengalaman saya. Pengalaman sangat manis bagi saya apabila Allah SWT tunaikan impian zaman kanak-kanak saya. Allah SWT limpahkan nikmat dua kali ganda pada hajat saya dan wasiat arwah ayah saya.
Impian ini baru sekarang Allah SWT tunaikan. Impian semasa usia saya 12 tahun (sehingga sekarang saya masih simpan impian ini). Selepas 27 tahun baru Allah SWT tunaikan dengan kurniaan berganda.
Dua puluh tujuh tahun dahulu arwah ayah pernah membawa saya ke muzium negara. Kami menaiki bas dari Ulu Yam ke Kuala Lumpur kerana ayah memang tidak mepunyai kereta. Memandangkan arwah seorang konstabel polis, ke mana sahaja laluan bas yang kami naiki adalah percuma dengan sekadar ayah pamerkan badgenya bernombor 26200 pada pemandu mahupun kondukter bas.
"Onn (ini panggilan manja saya) nak pergi muzium kat KL tak?"
"Muzium? KL? Best ke yah?"
"Jomlah ayah bawak. Boleh tengok kapal terbang kat luar muzium tu. Dah tu kita jalan kat lake garden, nak?"
"Bila?" tanya saya teruja.
"Sabtu!" balas ayah saya.
Pada hari Sabtu itu, awal pagi lagi arwah ayah dah bangun. Ditanaknya nasi seusai solat subuh. Kemudian, dia menggoreng ikan kembung rebus cili padi dan belacan dengan kacang panjang. Menu istimewa ikan masak lompok-lompok ini memang terkenal dalam kalangan adik-beradik kami.
Nasi putih yang masih panas ayah letakkan di atas alas daun pisang dan lauk sambal ikan tersebut diletak di atas bucu nasi. Kemudian, ayah balut ia umpama nasi lemak yang besarnya seperti induk ayam.
Ayah bancuh air sirap panas yang kemudiannya dimasukkan ke dalam termos. Inilah bekalan kami nanti kerana kami tidak punya banyak wang untuk makan di restoran. Ayah bungkus teliti dalam beg plastik yang dirapikan dengan balutan getah bulat.
"Siap dah bekalan kita, Onn. Ni nanti bila dah mesra sambal ikan lompok-lompok ni dengan nasi dan harum daun pisang, sedap ni nanti," ucap ayah selesai membungkus bekalan kami kelak.
Kami tiba di muzium. Sambil berjalan-jalan, ayah ceritakan sejarah hampir setiap ruang dan galeri yang kami lewati. Sebagaimana dijanjikan, kami menyusur jalan di belakang muzium negara ke lake garden dan sama-sama kami jamah bekalan nasi bungkus tadi.
"Onn kat sekolah pandai, kan? Nak tak masuk universiti tak nanti bila dah besar nanti?"
"Eh, mestilah," pendek sahaja jawapan saya.
"Kalau ayah bawak ke satu universiti paling best kat Malaysia ni nak tak? Ayah nak bagi semangat kat Onn. Universiti ni orang pandai-pandai aja yang dapat masuk. Macam Onnlah orang pandai." Bersemangat betul ayah mempelawa saya.
Saya mengangguk tanda setuju.
Kami menaiki bas mini di hadapan muzium. Setelah sekitar 15 minit berlalu, ayah menekan loceng dan kami turun dan terus menyeberang jalan. Ayah pimpin tangan saya melewati pintu utama yang dijaga oleh dua orang 'Pakcik Jaga' (ini panggilan kami untuk kakitangan sekuriti).
Saya baca tulisan yang terpapar di pintu gerbang masuk; "Selamat datang ke UNIVERSITI MALAYA," bisik saya dalam hati.
Saya lihat ayah tersenyum.
"Inilah universiti tempat budak-budak pandai tu. Nanti bila dah besar Onn belajar kat sini tau. Tak ramai orang dapat masuk sini. Orang yang hebat-hebat sahaja yang boleh belajar kat sini," ulas ayah pada saya.
Ayah pimpin tangan saya berjalan sekitar kampus. Kami lewati Dewan Tunku Canselor dan tasik kecil di sekitar kampus.
"Onn sukalah universiti ni. Onn mesti belajar kat sini nanti. Ayah suka kan Onn belajar kat sini?"
Ayah saya tersenyum bangga!
Semenjak dari itu hati saya sudah tetap untuk ke Universiti Malaya. Saya tidak tahu kursus apa yang akan saya ambil tapi itulah dia universiti pujaan hati saya. Apatah lagi, semasa saya bersekolah di sekolah asrama Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, kawan-kawan semua menggelarkan universiti ini sebagai "Harvard University of Malaysia".
Namun, tak semua yang kita impikan jadi kenyataan, bukan? Kecewanya jiwa saya apabila mengetahui keputusan peperiksaan SPM saya tidak begitu baik, sekaligus tidak melayakkan saya menyambung pelajaran di matrikulasi Universiti Malaya. Walaupun saya mendapat pangkat satu, tapi keputusan untuk subjek matematik dan sains saya sangat teruk.
Saya tahu ayah kecewa. Tapi ayah simpan perasaan itu dengan memujuk saya. Kata ayah, belajar di mana-mana universiti pun sama sahaja. Tak apa, bukan rezeki saya untuk ke Universiti Malaya.
Ramai juga kawan-kawan saya ke Universiti Malaya, terutamanya yang mengambil jurusan perdagangan. Itu tambah mengecewakan saya. Dengan keputusan SPM yang tidak begitu cemerlang, saya hanya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Masa ayah, mak dan angah hantar saya mendaftar kursus di UTM Skudai, saya hampiri ayah.
"Ayah, Onn mintak maaf ya, yah. Patutnya kita ke Universiti Malaya, kan? Ayah harap sangat Onn ke sana dulu. Onn ingat lagi, yah. Maaf ya, yah. Onn tak pandai macam Achik. (Achik saya belajar hingga ke UK dan dia sentiasa menjadi inspirasi saya semasa saya kecil.)"
Ayah pandang wajah saya. Tak ada apa yang keluar daripada bibirnya. Dia hanya pandang tepat ke mata saya dan mengusap kepala saya.
Setelah tamat pengajian peringkat diploma, saya meneruskan pengajian peringkat ijazah di UTM. Namun, harapan saya untuk belajar di UM tak pernah padam walau saya tak tahu bila ia akan tercapai. Sehingga ayah meninggal dunia, saya gagal memenuhi impian arwah ayah untuk menuntut di "Harvard University Malaysia".
Tapi Allah SWT maha adil. DIA temukan saya dengan Ain. Ain lulusan sarjana muda jurusan matematik daripada Universiti Malaya. Bukan setakat itu, Ain juga merupakan salah seorang pelajar pintar yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya satu tahun awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan.
Allah SWT tidak tunaikan impian saya dan arwah ayah melalui saya. Tetapi Allah SWT penuhi hajat kami melalui Ain. Masya-Allah, hebatnya perancangan Allah SWT, kan? Saya kira tertunai sudah hajat kami. Saya fikir perkara saya dan Universiti Malaya sudah tamat setakat itu.
Akan tetapi, rupa-rupanya Allah SWT tunaikan juga hajat arwah ayah dan impian saya dengan 'double promotion'. Kurniaan limpahan dua kali ganda ini bukan melalui peluang untuk saya menimba ilmu di Harvard Malaysia. Allah SWT beri peluang untuk saya memberi ilmu kepada 29 orang mahasiswa daripada Universiti Malaya untuk menuntut ilmu daripada saya.
Lebih manis apabila Allah SWT terbangkan mereka dari kampus Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur ke Liverpool John Moores University (LJMU) untuk saya ajari mereka tentang bidang kepakaran saya; pengurusan fasiliti.
Hari ini sesi pertama saya sebagai 'program leader' menerajui 'outbound reach out program' antara UM dan LJMU.
Mereka akan bersama saya selama hampir sebulan dan saya diberikan kuasa penuh untuk merangka program bagi kesemua 29 orang mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Ukur Bangunan daripada Universiti Malaya itu.
Semasa mereka diserahkan kepada saya tadi, hati dan perasaan saya bercampur baur; gembira, terharu, sedih dan sebak. Penuh emosi dalam jiwa ini. Sambil saya tatap 29 wajah anak Malaysia yang merupakan antara pelajar terbaik tanah air itu, saya hela nafas panjang sebelum saya mulakan kuliah pertama saya.
"First and foremost, I wish to welcome you to LJMU. Secondly, I wish to extend my gratitude to all of you for making my late father and my childhood dream a reality today. I have been holding on to this dream for 27 years. I am sure if my late dad was here with us today, he will be smiling at me with a huge sense of pride and happiness."
Kemudian saya ceritakan kepada mereka kisah impian arwah ayah dan saya. Saya tegaskan yang mereka ini antara yang bertuah kerana mereka adalah antara mahasiswa terbaik di Malaysia dan betapa bangganya saya kerana berpeluang berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman kepada mereka.
Perkongsian ini khas buat arwah ayah saya, Hj Mohd Noor Bin Habib. Saya mohon maaf kerana agak lambat menunaikan impian ayah. Tapi Allah SWT lipat gandakan kejayaan ini pada impian kita yang tak pernah padam. Saya doakan ayah damai di sana di samping mak dan insan-insan yang beriman. Terima kasih atas segala pengorbanan dan jerih perih ayah membesarkan kami. Walau kadangkala hati ini buta menghargai kasih sayang ayah.
Kepada semua, kadangkala perjalanan kita mencapai impian tidak seperti denai yang kita harapkan. Tapi bersangka baiklah dengan Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT lewatkan sedikit kurniaanNYA kerana DIA mahu memberikan kita suatu yang berlipat kali ganda kejayaannya.
Bersabarlah ya, teman. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah dan Mengasihani.
Saya akhiri perkongsian dari hati kali ini dengan sedikit nukilan yang saya temui di sebuah blog yang coretannya benar-benar menyentuh hati saya:
"Bila Allah SWT cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH SWT,
dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya."

(Foto oleh: theusualsuspect)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...