Pages

Monday 25 June 2012

Kelantan Tidak Perlu Panik



Azman Ibrahim
Azman akui jentera serangan kurang persefahaman, namun misi tiga mata tercapai
KOTA BHARU – ‘Belum tiba masanya bagi kami menekan butang panik’. Itu komen Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim ketika ditanya mengenai prestasi hambar The Red Warriors buat kali ketiga setakat ini.
Malam kelmarin, Kelantan sekali lagi menghidangkan aksi di bawah keupayaan sebenar dan hanya mampu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan bermasalah, Sabah sehingga mengundang kritikan penyokong setia mereka.
“Mungkin pemain berdepan tekanan menjaringkan gol. Apabila Lions menang 9-0 dan PKNS FC membelasah Sabah 4-0, jadi sangkaan peminat kita mampu melakukan perkara sama,” katanya sejurus perlawanan berakhir.
Menurutnya, akibatnya pemain gagal bermain lebih tenang dan menghadapi kesukaran menjaringkan gol.
“Bagi saya soal berapa gol dijaringkan perkara nombor dua. Lebih mustahak kita meraih tiga mata dan pemain membuktikan malam ini (kelmarin).
“Anda dapat lihat Sabah hanya meletakkan penyerang tunggal dalam perlawanan ini. Strategi mereka bermain secara bertahan dan mahu memerangkap kita dengan serangan balas pantas. Itu yang turut dilakukan Kedah dan Kuala Lumpur ketika bertemu kita sebelum ini,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan bimbingan Bojan Hodak menang 2-0 menerusi tandukan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid pada awal permainan dan jaringan Indra Putra Mahayuddin dalam masa kecederaan babak kedua.
Azman bagaimanapun tidak menganggap aksi hambar itu berpunca daripada kemerosotan prestasi Kelantan, sebaliknya menegaskan faktor kurang persefahaman di bahagian serangan sedikit menjejaskan persembahan keseluruhan.
“Saya mahu peminat bersabar serta menerima secara terbuka persembahan pasukan ketika ini. Apabila bertemu Terengganu nanti, kita harap dapat kembali menyesuaikan diri dengan corak sebenar,” katanya.
Sementara itu, pemangku jurulatih Sabah, Andrew Majanggim berkata, meski pun tewas, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain sambil membayangkan kebangkitan pasukannya bagi menamatkan baki enam perlawanan liga selepas ini.
“Pemain menunjukkan karakter positif dengan bermain lebih teratur dan mengikut arahan. Saya tahu Kelantan akan menyerang dan kita berjaya mengimbangi kekuatan mereka dengan bertahan.
“Sasaran awal kita mahu mengutip satu mata di Kota Bharu tidak tercapai. Tapi saya tidak kecewa kerana ramai pemain kita cedera. Kita akan bertemu Kedah (di Kota Kinabalu) selepas ini dan sudah pasti mahu menang bagi memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya.
sumber: kelantan.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...